25 April lalu bapak meninggalkan kami... seperti biasa bila kita kehilangan sesuatu dan seseorang, baru lah kita menghargai betapa pentingnya ia.. Hari ini genap 2 minggu Allahyarham ayahanda saya Hj Mohd Mardzi Mohd Ali pergi dijemput Ilahi. Namun sampai hari ini dapat dirasa seolah2 bapak tengah lihat kami dari 'sana' dan mmg dapat rasa arwah tenang di sana.
Setiap hari dalam solat diri ini mendoakan agar bapak sentiasa diletak dalam golongan insan2 beriman. Di Terengganu semasa bapak baru meninggal, masih terngiang2 suara bapak memanggil mak. Tak kira sama ada meminta dibuatkan Quaker oats mahu pun untuk mempersiapkan bapak untuk keluar membuat dialysis (cuci darah). Teringat bila bunyi pintu bilik master bedroom kat atas berbunyi, tu petanda bapak akan turun dgn langkah perlahan sambil memegang handrail tangga.
Bapak pergi selepas 63 tahun.. Alhamdulillah pemergiannya selamat dan sempurna. Sebagai anak lelaki, aku dan Isk dan Ewan turut membantu menyempurnakan jenazah dari memandikannya hingga ke liang lahad. Meskipun tidak bersama bapak masa bapak hembus nafas terakhir, namun melihat jasad bapak tenang waktu dimandikan mengubat rindu kami.
Teringat pada Ustaz yang mengetuai semasa proses memandikan jenazah, yang meminta adik aku Ewan untuk menyikat rambut arwah sesudah proses memandikan jenazah hampir selesai. Kata Ustaz, "..ambil sikat, dan sikat rambut ayah...bg nampak kemas...dia nak jalan jauh kan...." masa tu lah air mata hampir menitis.. Ada kala juga ketika mandikan jenazah, aku senyum melihat muka bapak yang tenang...
Pastinya sebak melihat bapak dikapankan dan ketika tu tangisan kakak2 kedengaran..kami yang lelaki setia di tepi jenazah untuk menjaga. Alhamdulillah Mak sangat tenang. Anak2 dan menantu sebagai sumber kekuatan ketika kehilangan suami. Tapi aku tahu Ma memang strong dalam menghadapi situasi sebegini.
Melihat adik beradik bapak yang lain, yang kami rapat seperti kakak Bapak yang kami panggil Chek, dan adik bapak iaitu Chu atau Chek Hatta...semuanya menangis melihat jenazah bapak. Tapi apa pun yang pergi tetap pergi.
Sesudah kapan jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangi dan dibawa ke tanah perkuburan Gong badak berhampiran. Kubur bapak tak jauh dari rumah. Kira2 300meter sahaja. Boleh lah kami sentiasa lawat bapak. Syukur sebab ramai yang membantu, mengiringi dan mendoa serta menyembahyangi jenazah bapak. Saat dimasukkan ke liang lahat, aku diminta untuk masuk ke dalam bagi membantu perbetul posisi jenazah. Masa itu dapat aku rasa bapak sedang lihat aku dari atas (tak tahu dari mana) tapi seolah2 bapak gembira anak2 lelaki bapak membantu menguruskan jasad. Itu kali pertama aku masuk dalam liang lahat. Dalam nya lebih tinggi sikit dari tinggi aku. Aku diminta perbetul jenazah dan ketika itulah aku memegang kepala bapak yang sudah tertutup dengan kapan dan meletakkan gumpalan2 tanah di bawahnya bagi menyokong kepala bapak. Itulah kali terakhir aku memegang bapak selepas selesai memasukkan gumpalan tanah ke sekitar jenazah.
Talkin dah selesai. Begitu juga upacara menyiram air mawar oleh adik beradik dengan Ma dan juga saudara terdekat juga. Dalam hati, hanya berdoa bapak akan aman di sana. Hati ini bersyukur sebab prosesnya amat sempurna. Hanya do'a yang dipohon. Bapak sempurna dan selesai disemadikan sekitar jam 11.45pagi 26 April 2011.
Alhamdulillah kami sekeluarga diberi kekuatan. Pemergian bapak mengingatkan kami bahawa kami juga akan menyusul, cuma entah bila.
Ramai yang SMS dan mengucap ta'ziyyah di Facebook. Diri ini sangat hargai atas ucapan dan du'a mereka...Terima kasih banyak2..
Mengingat kembali beberapa hari sebelum Bapak pergi, seminggu sebelum Bapak meninggal dunia, arwah dimasukkan ke hospital untuk 2-3hari. Dikatakan kerana masalah jantung namun boleh discharge kerana tiada apa yang serius. Semasa di hospital lah aku ada menelefon bapak bertanya khabar dan tak sangka perbualan singkat itu adalah perbualan terakhir aku dengan bapak. Suara bapak ketika itu sangat ceria namun perbualan kami agak pendek.
Hari bapak meninggal dunia hari Isnin, jam 9.37pm. Mengikut cerita Mak, siang tu bapak senyum melihat mak. Namun bapak mula muntah2 dan keluar darah dari mulut. Bapak terbaring sahaja dan demam. Tidak mampu bangun dan seolah2 tidak larat berbuat apa2. Mak mula risau kerana demam panas dan bapak seperti separuh sedar. Ma terus telefon ambulans dan menghubungi kami adik beradik di KL. Ketika Ma call aku, aku di office. Ma pesan, kalau boleh balik lah, sebab condition bapak sangat tak stabil. Aku mula hubungi kakak dan abang, dan mereka bersiap untuk book tiket penerbangan malam itu.
Petang, Mak menelefon ambulans kerana bapak seperti separuh sedar. Ambulans tiba dan bapak dibawa menggunakan stretcher ke dalam ambulans. Itu apa yang diceritakan emak. Ambulans dibawa laju dan bapak hanya terbaring di dalam ditemani emak dan adik bongsu Ewan. Tangan bapak mereka genggam. Menurut Ewan, ketika beliau genggam tangan bapak, bapak seolah2 bergurau dengannya dengan menggelikan tangan Ewan. Dilihat ketika itu air mata bapak keluar sedikit walaupun bapak seperti tidak sedarkan diri. Mungkin ketika itu bapak sudah nazak tapi wajah bapak dilihat tenang.
Terus dibawa ke ICU kerana dikatakan sudah kritikal. Pelbagai usaha dicuba. Aku di KL dari semasa ke semasa meminta adik update perkembangan bapak. Antara SMS yang diterima 'Pak kritikal, unconcious'. Hanya doa dan airmata mengiringi perasaan aku masa itu.
Kakak2 dan abang berjaya dapatkan tiket AirAsia malam itu, namun setibanya mereka di Hospital KTganu, bapak sudah tiada. Bapak baru sahaja pergi dijemput Ilahi. Manakala aku dan Farah masih di KL mempersiap diri utk pulang, namun kaki jadi lemah bila dengar berita bapak sudah tiada. Aku ketika itu makan bersama kawan terus hilang selera. 2 orang kakak menelefon dgn tangisan memberi khabar menyedihkan itu.
Terus aku rancang dengan seorang lagi kakak di Subang yang sarat mengandung untuk pulang ke Terengganu memandu kereta. Malam itu juga sekitar jam 11pm kami bertolak. Sebelum itu aku sempat menelefon Aiman sahabat baik aku. Aiman yang tahu betapa teruknya aku menangis ketika aku telefon dia menyatakan ayah aku dah meninggal. Terus Aiman datang ke rumah ku dari Putrajaya dengan isterinya.
Perjalanan 5 jam ke Terengganu, aku yang memandu dari Kuantan ke Kuala Terengganu beberapa kali airmata jatuh... Teringat kembali kenangan bersama bapak. Sukar dipercayai, bapak adalah ikon kami untuk kami jadi strong dan berdikari. Bapak tak manjakan kami, sebaliknya bapak tegas dan kami sangat takt dengan bapak, terutama pada zaman kami sekolah dahulu.
Bagi aku, bapak sangat berjaya membentuk anak2nya. Bapak juga bangga melihat kami semua membesar dan berjaya. Abg ipar aku berkata bapak pergi ketika segalanya telah berjaya bapak lalui. Membesarkan anak2, memberi pendidikan kepada kami....Bapak sempat merasai menunaikan Hajj, menunaikan umrah bersama kami sekeluarga, bapak juga ada semua, ada anak lelaki dan perempuan, menantu, cucu, dan hidup bapak dilihat sempurna sebelum pergi... Dan Allah mengambil nyawa bapak ketika bapak selesai menggalas tanggungjawabnya.
Syukur bapak nazak tidak lama. Sakit sebelum meninggal dunia, bapak tidak hadapi terlalu lama. Bapak pergi dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bapak pergi dalam diam. Namun emak sempat bisikkan dua kalimah syahadah ke telinga bapak. Mak seorang yang kuat dan tabah. Mak yang selama ini jaga bapak pasti sedih melihat bapak sudah tiada namun kekuatan Mak turut memberi kekuatan kepada kami. Semua orang akan pergi, hanya Allah sahaja yang mengetahui bila ketikanya.
Mengimbau kembali, bapak adalah seorang yang sangat supportive. Bapak ajar kami berdikari. Bapak tak kisah kami nak kahwin dengan sesiapa pun asalkan tahu membawa diri. Bapak juga pernah bertanya 'macamana kerja kat TV AlHijrah'. Ku kata 'Tiring but interesting'.... Kemudian bapak kata 'biasa lah tu, kerja mana2 pun mana ada yang tiada cabaran, it challenges you'..
Bapak langsung tak membantah aku kerja bidang lain yang jauh menyimpang dengan apa yang aku belajar. Bapak tidak pernah membantah apa yang kami buat. Bapak sangat memberi kebebasan apa yang kami nak buat, nak jadi, nak belajar dan memilih jodoh pun bapak tidak pernah kisah. Yang bapak tahu, kami perform yang terbaik. Bapak juga sangat berbangga dengan anak2. Bapak ceritakan kepada teman2nya tentang kami walaupun kami tak mengetahui. Namun kami tahu Bapak bangga dengan keluarganya.
Tahun lalu aku dan kakak sulung berjaya mendapat ijazah Master. Dan dalam facebook, gambar aku konvo untuk master, bapak ada komen,
"I'm very proud for both of you DD & Deana.... You've proven to me that withot proper support from us you both could excel independently. Congratulation ..... now aim fot the akhirat too"
Jelas bapak bangga dengan anak2 kerana berjaya berdikari tanpa bantuan penuh mereka, kerana bapak dan mak mendidik kami berusaha dan berdikari sendiri. Itulah bapak. Bapak tak tunjuk yang bapak bangga dan gembira depan kami. Sebab bapak taknak kami leka. Bapak ajar kami untuk fight dan buat yang terbaik. Kami bersyukr dapat Bapak dan Mak. Bapak tegas dan Mak tempat kami lauhkan perasaan. Mak tenangkan kami. Mak dan bapak sangat balance untuk kami. Kami memang memerlukan kedua2nya untuk terus hidup dan melalui cabaran sebagai hamba Allah.
Semoga bapak tenang di sana, itu du'a kami dan seluruh yang mengenali bapak. Terimakasih kami ucapkan kepada semua yang mengucapkan ta'ziyyah dan mendu'akan bapak. Yang kami tak kenal, yang mengetahui melalui blog, suratkhabar dan radio yang mengucapkan ta'ziyyah, terima kasih banyak2. Please make du'a for bapak. Saudara mara, teman2, rakan2 di pejabat, teman rapat, dan semuayang membantu menyempurnakan jenazah arwah Bapak. Semoga Allah balas budi kalian. Tak lupa juga kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Jawatakuasa Masjid Taman Desa Pusu 3, Gong Badak serta jiran tetangga. Kami hargai du'a, ucapan dan bantuan semua.
Andai ada hutang dan dosa bapak pada kalian, mohon diampunkan, dan sebarang urusan, minta berjumpa dengan keluarga ku.
Buat Bapak, terima kasih selama ini Pak ajar Didi jadi manusia. Walaupun masa kecil Didi manja, tapi Pak berjaya bentuk Didi dan adikberadik untuk jadi strong dan berdikari. Didi sentiasa du'a untuk Pak di sana. Hanya du'a saja yang Didi boleh pohon untuk Pak. Didi rindu Pak dan akan sentiasa lawat tempat Pak disemadikan. Allah sayang Pak, tu sebab Allah ambik Pak dulu :-) Kami akan sentiasa berdu'a untuk Pak, sehingga akhir hayat kami. Insha Allah.
Al Faatihah.
Mohd Mardzi bin Mohd Ali
14 Disember 1948 - 25 April 2011.
Love, anakanda ke-5,
ARDI HERMAN MOHD MARDZI.
